March
2026

SIARAN MEDIA 

UDA PERUNTUK LEBIH RM2 JUTA PERKASA USAHAWAN

___________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

KUALA LUMPUR, 03 Mac 2026 - UDA Holdings Berhad (UDA), peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memperuntukkan lebih RM2 juta bagi tahun 2026 untuk menyokong pemerkasaan usahawan tempatan. 

YBrs. Encik Mohd Nazri Jamiran, Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA berkata, “Inisiatif ini dijangka memanfaatkan seramai 625 usahawan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi selari dengan strategi KUSKOP di bawah Teras D iaitu Perluasan Akses Pasaran dan Adaptasi Teknologi. 

Menurut beliau, “Pendekatan ini dirangka secara holistik dengan lebih berstruktur dan berfasa bagi memastikan usahawan mendapat akses pasaran yang lebih luas serta laluan perkembangan perniagaan yang mampan. Pada masa sama, pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan aspirasi KUSKOP untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan unggul. 

“Pemerkasaan usahawan ini akan dilaksanakan menerusi beberapa program utama termasuk Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre (MARi Mart), UDA Craft Corner (KIRANA) dan penyediaan ruang niaga di bawah Malaysia Entrepreneur Hub (MEH)”. 

“Tahun ini, penekanan akan diberikan kepada peluasan akses pasaran, pengukuhan rantaian bekalan serta pemantauan prestasi berasaskan data agar setiap intervensi yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan usahawan,” jelas beliau. 

Inisiatif utama yang akan dilaksanakan ialah PIUU yang menyasarkan 500 usahawan bersasar melalui pemberian insentif sewaan lot kedai dan tapak sementara di premis-premis UDA bagi menyokong kemasukan serta memastikan kesinambungan operasi perniagaan. 

UDA turut memperkukuh pelaksanaan MEH yang menyediakan ruang niaga di lokasi strategik dan kawasan bandar seperti Hab Keusahawanan Morten Walk, Kuala Lumpur Heritage Valley dan Santai Camp di Angsana Johor Bahru Mall (AJBM), dengan sasaran penyertaan seramai 25 usahawan. Inisiatif ini berperanan sebagai platform peralihan sebelum usahawan berpotensi dipertimbangkan untuk penyewaan premis secara tetap di kompleks beli-belah UDA. 

Selain itu, platform MARi Mart akan terus diperkasa sebagai saluran pemasaran produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan sasaran kemasukan 75 vendor baharu. Inisiatif ini memberi fokus kepada fasilitasi vendor, penambahbaikan asas produk serta pengukuhan penjenamaan bagi meningkatkan daya saing produk di pasaran. 

KIRANA yang berteraskan konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) pula akan menyediakan ruang pameran dan saluran pemasaran strategik kepada 25 usahawan kraf tangan tempatan, sekali gus memperluas akses pasaran bagi produk tempatan yang berpotensi tinggi. 

Mengulas lanjut, YBrs. Encik Mohd Nazri berkata, “Bermula tahun ini, UDA turut memperkenalkan pendekatan pembangunan usahawan secara berfasa yang merangkumi fasa pendedahan (exposure), pemantapan (nurturing) dan pengukuhan (establishment). Melalui pendekatan ini, usahawan akan diberi peluang menilai kebolehpasaran produk dalam tempoh percubaan sebelum dipertimbangkan untuk penempatan yang lebih kekal berdasarkan prestasi dan potensi pertumbuhan. 

Menurut beliau, “Selain menyediakan ruang niaga fizikal, UDA turut memberi penekanan kepada aspek penjenamaan, pematuhan asas perniagaan serta akses kepada platform jualan digital bagi memperkukuh daya saing usahawan dalam pasaran yang semakin kompetitif. 

“Kesemua inisiatif yang dilaksanakan diharap dapat meningkatkan kelangsungan perniagaan dalam kalangan usahawan dan UDA akan terus komited membina ekosistem keusahawanan yang lebih tersusun dan inklusif agar usahawan bukan sahaja dapat memulakan perniagaan, malah mampu berkembang secara mampan dan berterusan dalam tempoh jangka panjang,” kata beliau. 

Layari www.uda.com.my atau Instagram (@uda_official) dan laman Facebook (UDA Holdings Berhad) untuk info terkini dan jangan lepaskan peluang memiliki hartanah UDA. 

TAMAT

UDA HOLDINGS BERHAD 

Ditubuhkan pada 1971, UDA Holdings Berhad (UDA) yang dahulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar atau Urban Development Authority, kini merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). 

Selama 55 tahun, UDA terus memacu pemerkasaan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan Bumiputera dan komited mencorakkan, membentuk serta memodenkan bandar-bandar utama di Malaysia. 

UDA turut memainkan peranan penting mendukung pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera dalam melahirkan usahawan yang mampan, berpotensi maju, berdaya tahan serta mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa. 

Sebagai antara organisasi yang berdaya saing dan mampan di Malaysia, UDA memfokuskan kepada empat perniagaan teras iaitu pembangunan hartanah (UDA Property), pelaburan dan pengurusan harta (UDA PIM), hospitaliti (UDA Hospitaliti) serta pengurusan fasiliti (UDA Dayaurus). 

UDA juga konsisten memenuhi misi memberikan produk dengan nilai terbaik seterusnya kekal mampan menerusi aspirasi ‘Memenuhi Impian’ sebagai tunggak utama bagi semua rangkaian perniagaan UDA di seluruh Malaysia, demi kesejahteraan serta masa depan generasi hari ini dan akan datang. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.uda.com.my. Sebarang pertanyaan media, sila hubungi: 

Nisa Kamaruzaman 

n.hanisah@udanet.com 

| +6013 597 4264 

Dzaqiatul Syahira Asmapi 

dzaqiatul@udanet.com 

| +6018 375 2208 

Ahmad Fadhlullah Adnan 

ahmad.fadhlullah@udanet.com 

| +6019 493 2154 

 

Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Tingkat 6, Blok Menara, Kompleks Pertama, 

Jalan Tuanku Abdul Rahman, 50100 Kuala Lumpur Tel: +603 2730 8500 | Fax: +603 2731 2855 

Download
  • Messenger