November
2022

Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Perak Terus Mempergiat Aktiviti Usahawan

IPOH, 4 November 2022 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus mempergiat aktiviti keusahawanan menerusi jelajah Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Angsana Ipoh Mall, di sini, hari ini.

Karnival yang berlangsung dari 4 hingga 6 November 2022 itu menampilkan penyertaan 100 usahawan dari pelbagai bidang seterusnya merancakkan perniagaan dan sosioekonomi tempatan. Inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memperkasa gaya hidup lestari selari dengan hasrat kerajaan melahirkan Keluarga Malaysia yang makmur sejahtera.

YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, UDA teruja dengan maklum balas yang positif daripada Keluarga Usahawan yang menyertai Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia yang telah berlangsung di tiga buah lokasi sebelum ini iaitu di Odeon Walk, Kuala Lumpur, Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Angsana Johor Bahru Mall, Johor.

“Menerusi penganjuran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia sebelum ini, sebanyak 442 gerai jualan usahawan telah dibuka dengan penjanaan jualan sebanyak RM8.9 juta. UDA berharap dapat meneruskan pencapaian yang memberangsangkan di karnival ini dan juga yang akan berlangsung di Serambi Teruntum Kuantan, Pahang seterusnya membantu mengembangkan potensi Keluarga Usahawan.

“Penganjuran karnival ini turut diharap dapat membudayakan aktiviti keusahawanan kepada generasi akan datang dan membuka peluang pekerjaan baharu seterusnya merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia. Langkah proaktif UDA ini juga bagi memastikan Keluarga Usahawan sentiasa berdaya saing dan berupaya untuk kelangsungan perniagaan terutamanya dalam persekitaran ekonomi negara yang kian pulih,” kata beliau ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia, hari ini.

Dalam majlis yang sama, YBhg. Datuk Norliza turut berkesempatan menyempurnakan sumbangan zakat berjumlah RM20,000 kepada empat (4) usahawan asnaf tempatan. Sumbangan itu diharap menjadi pemangkin dan semangat kepada usahawan terbabit meneruskan perniagaan mereka.

Menerusi cabang perniagaan hartanah, UDA turut menganjurkan Kempen Hartanah UDA Ria 2022 bertemakan ‘Sempurna untuk Semua Generasi’ secara serentak di semua jelajah Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia. Kempen hartanah tersebut adalah pendekatan UDA untuk mendekati komuniti setempat serta membantu para pembeli memilih hartanah idaman mereka menerusi enam (6) karikatur komik yang menggambarkan karakter ‘Generasi UDA’. Pelbagai produk dan tawaran istimewa turut disediakan bagi membantu usahawan dan pelabur memiliki produk komersial seterusnya mengembangkan perniagaan mereka.

Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia di Perak turut menjadi platform kepada pengunjung khususnya usahawan untuk mendapatkan informasi dan meneroka peluang insentif bersesuaian di gerai pameran KUSKOP serta agensi-agensi di bawahnya seperti Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Institut Koperasi Malaysia (IKMA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Selain itu, UDA dengan kerjasama organisasi berkaitan keusahawanan seperti Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera (USAHANITA), Richworks International Sdn Bhd (RichWorks) serta organisasi sokongan seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ninja Van dan KRU turut bersama bagi memvariasikan barisan usahawan dan produk yang ditawarkan. UDA turut mengutamakan keterangkuman dengan menampilkan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di karnival tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program antaranya pameran dan jualan dari setiap segmen perniagaan UDA, ceramah berkaitan kewangan kelolaan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC). Program turut disemarakkan lagi dengan sesi perkongsian (pocket talk) ‘Pemerkasaan Usahawan’ oleh UDA dan agensi-agensi KUSKOP, sesi perkongsian bersama RichWorks Titan dan usahawan selebriti serta aktiviti pentas bersama usahawan.

Pengunjung turut berpeluang menyertai cabutan bertuah, pertandingan karaoke, jualan lelong (hari ketiga), menonton persembahan penghibur jalanan (busker) serta persembahan artis terkemuka seperti Black Hanifah dan Shiha Zikir (hari kedua) serta Bandi Amuk (hari ketiga).

Kunjungi Karnival UDA USHAniaga Keluarga Malaysia dan temui usahawan yang menampilkan pelbagai kategori perniagaan seperti makanan dan minuman, perhiasan diri, fesyen serta tekstil, termasuk jenama terkemuka oleh usahawan selebriti. Sebarang maklumat lanjut berkaitan karnival dan usahawan sila layari www.udamalls.com.my manakala bagi yang berminat untuk mendapatkan informasi produk hartanah UDA, sila layari www.udaproperty.com.my.

Download
  • Messenger