October
2022

UDA Baik Pulih Kediaman Asnaf Menerusi Program CSR UDA Cares Project RE_ (React, Rebuild & Reenergize)

SEKINCHAN, 28 Oktober 2022 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sekali lagi mengambil langkah murni dengan membaik pulih kediaman asnaf menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares Project RE_ (REact, REbuild & REenergize) di sini, hari ini.

Peka dan prihatin dengan keadaan rumah asnaf yang serba kekurangan, UDA menambahbaik bahagian dinding, pintu, tingkap, siling, singki beserta ‘table top’ dan lantai dapur di kediaman Encik Suhaili Saini dengan peruntukan sebanyak RM15,000. UDA terpanggil untuk membantu keluarga Encik Suhaili berikutan kediaman mereka sering menghadapi masalah kebocoran di bahagian atap dan dinding yang menyebabkan rumah itu dimasuki air ketika hujan selain turut terdedah dengan ancaman keselamatan setelah beberapa kali dimasuki pencuri.

Memahami cabaran dan kesulitan yang dihadapi Encik Suhaili yang bekerja sendiri menyara lima (5) orang anaknya yang masih bersekolah, UDA mengambil langkah proaktif dalam memastikan kediaman yang didiami keluarga tersebut berada dalam keadaaan lebih kondusif. Inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memperkasa gaya hidup lestari dengan mewujudkan persekitaran serta komuniti yang harmoni.

YB Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut berkesempatan meninjau perkembangan kerja-kerja baik pulih di kediaman Encik Suhaili sekeluarga, hari ini. Kunjungan beliau diiringi YBrs Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA.

YBrs. Sr Mohd. Salem Kailany berkata, “UDA dengan kerjasama anak syarikat, UDA Dayaurus Sdn Bhd (UDA Dayaurus) yang berperanan dalam segmen perniagaan pengurusan fasiliti, berusaha mewujudkan kediaman yang selesa buat Encik Suhaili sekeluarga. UDA selaku salah sebuah agensi di bawah KUSKOP sentiasa mengimbangi peranan syarikat iaitu menjalankan perniagaan seterusnya menjana keuntungan dan dalam masa yang sama turut fokus menyumbang semula kepada masyarakat setempat khususnya golongan memerlukan. Semoga bantuan baik pulih rumah ini dapat memberikan keselesaan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan serta mengukir senyuman di wajah mereka,” kata beliau.

Bagi memperkasa program CSR UDA Cares, syarikat telah memperkenalkan empat (4) tunggak utama iaitu UDA Cares Educational, UDA Cares Entrepreneur, UDA Cares Project RE_ dan UDA Cares Enriching Life. UDA Cares – Project RE_ memfokuskan untuk memberi nilai tambah kepada komuniti setempat di kawasan pembangunan UDA yang merangkumi tiga (3) elemen utama iaitu komuniti, alam sekitar dan kesihatan.

Download
  • Messenger