KUALA LUMPUR, 25 Julai 2022 – Menyingkap kembali sejarah 50 tahun lalu, Perdana Menteri Malaysia Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) seterusnya menubuhkan UDA Holdings Berhad (UDA) yang dulu dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Bandar serta 40 agensi yang lain dalam menangani isu ketidakseimbangan ekonomi serta ekuiti dalam masyarakat. UDA diberikan peranan dan tanggungjawab yang termaktub di bawah Akta Perbadanan Pembangunan Bandar 1971 bagi menterjemah dasar Kerajaan iaitu menyusun semula masyarakat melalui pembangunan bandar serta mengagih peluang perdagangan merangkumi semua kaum di Malaysia.
Semenjak penubuhannya, UDA komited menggalas mandat dengan melaksanakan pembangunan berterusan antaranya pembangunan semula Tanjong Tokong di Pulau Pinang di mana unit kediaman percuma diberikan kepada 300 keluarga. Pada 1984, Kompleks Dayabumi yang diiktiraf sebagai bangunan pencakar langit pertama di Malaysia menggunakan teknologi keluli Jepun turut dibangunkan oleh UDA. Pembangunan UDA turut merentasi keperluan di mana UDA membina penjara Sungai Buloh sebagai penempatan baharu dan tapak Penjara Pudu dibangunkan semula sebagai Bukit Bintang City Centre (BBCC). Sejak awal penubuhan hingga kini, UDA terus komited menyediakan ruang komersial yang kondusif dan kompetitif bersama-sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam melahirkan lebih ramai ‘Keluarga Usahawan'.
Rentetan kejayaan 50 tahun itu, UDA memperkenalkan penjenamaan baharu ‘LIFE’ di Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA Ke-50 ‘Bersama Meneruskan Legasi’ sebagai batu loncatan untuk UDA terus melakar kejayaan untuk 50 tahun akan datang. Selepas mencapai usia emas pada 12 November 2021, UDA menyuntik nafas baharu menerusi jenama ‘LIFE’ iaitu Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) sebagai tunggak utama perniagaannya.
YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, “Setelah lima dekad, UDA komited merangka pelan terbaik dengan memperkenalkan penjenamaan baharu ‘LIFE’ yang akan menjadi DNA UDA bagi memajukan pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti serta perhotelan demi melahirkan komuniti yang inklusif seiring dengan hasrat Kerajaan melahirkan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’. Konsep ‘LIFE’ juga mampu mencorak pembangunan yang seimbang dan lestari bagi memperkasa kehidupan komuniti setempat dengan menyumbang kepada komuniti sebagai tanda penghargaan UDA atas sokongan yang berterusan.
“'LIFE' adalah kehidupan yang mempunyai tujuan dan matlamat. 'LIFE' dapat dizahirkan menerusi kehidupan yang lebih bermakna dengan meneroka peluang baharu dan mencapai impian serta matlamat lebih tinggi seterusnya meneruskan legasi kehidupan untuk generasi akan datang. Inilah makna sebenar ‘LIFE’ yang ingin UDA tanamkan dalam nadi perniagaan serta seluruh warga UDA. Jenama ‘LIFE’ ini juga menampilkan tema tersendiri iaitu Embrace Life untuk hartanah, Experience Life untuk pusat beli-belah, Enjoy Life untuk hospitaliti dan Enhance Life untuk pengurusan fasiliti,” kata beliau.
Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA Ke-50 ‘Bersama Meneruskan Legasi’ yang berlangsung di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor, hari ini telah dirasmikan oleh YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia dan turut dihadiri YB Tan Sri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Majlis yang merupakan kemuncak Sambutan Jubli Emas UDA itu diadakan sebagai tanda penghargaan Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan kanan serta seluruh warga kerja UDA kepada pihak berkuasa tempatan, pelanggan dan rakan-rakan media yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan terhadap UDA dari dulu hingga kini.
Pelancaran Buku 50 Tahun UDA
Pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA Ke-50 ‘Bersama Meneruskan Legasi’, UDA turut melancarkan Buku 50 Tahun UDA yang mengabadikan perjalanan, kejayaan dan trasnformasi UDA mencorak serta memodenkan pembangunan negara merangkumi pembangunan hartanah dan keusahawanan di kawasan bandar selama 5 dekad. Buku 50 Tahun UDA turut memuatkan kisah penubuhan dan perkembangan UDA dari dahulu hingga kini dan bakal menjadi rujukan kepada generasi masa hadapan.
Bagi melengkapkan pengisian buku tersebut, UDA turut menemu bual bekas barisan pengurusan dan kakitangan sebagai penghormatan atas dedikasi dan kesungguhan mereka menyumbang tenaga dan kepakaran dari awal penubuhannya.
Penyerahan Hadiah Proton X50 Kepada Pemenang Utama ‘UDA 50 Golden Offers’
Pada majlis yang sama, UDA turut menyampaikan hadiah Proton X50 kepada pemenang utama kempen hartanah ‘UDA 50 Golden Offers’ iaitu Encik Ahmad Shahrul Mohamed, 52 tahun yang membeli produk hartanah terbaharu di Kuala Lumpur iaitu 38 Bangsar Residensi. Kempen yang berlangsung dari 1 Januari hingga 31 Disember 2021 itu turut menampilkan hadiah dwi bulanan. Seramai 64 pemenang telah dipilih dan hadiah diterima berupa jongkong emas, motosikal, Apple Ipad Pro, kelengkapan rumah dan dapur, baucar penginapan AnCasa Hotels & Resorts dan sebagainya. Nilai pembelian hartanah sepanjang tempoh kempen adalah RM156.1 juta.