KUCHING, 12 September 2022 - UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan memperkenalkan projek pembangunan bersepadu pertama di Sarawak yang dibangunkan hasil usaha sama dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini, hari ini.
Projek yang diberi nama ‘Neu Pendington’ ini bakal dibangunkan di atas tanah berkeluasan 12.6 ekar (5.1 hektar). Tanah milik SEDC itu terletak di kawasan Pending iaitu di Lot 9561, Seksyen 64, Kuching Town Land District, Jalan Datuk Merican Salleh, Kuching, Sarawak.
Nama ‘Neu Pendington’ adalah gabungan ‘Neu’ yang membawa maksud pembaharuan dan ‘Pendington’ diinspirasikan daripada nama asal kawasan pembangunan tersebut iaitu Pending. Nama projek tersebut diumumkan di Majlis Pecah Tanah Pembangunan Usaha Sama antara SEDC dengan UDA (Neu Pendington) yang berlangsung di atas tapak pembangunan tersebut, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak. Turut hadir YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr) Haji Abdul Aziz Dato Haji Husain, Pengerusi SEDC dan YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA, YBhg. Tuan Haji Abdul Hadi Haji Abdul Kadir, Pengurus Besar SEDC, YBrs. Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA serta barisan pengurusan SEDC dan UDA.
YBhg. Datuk Norliza berkata, “UDA yakin dengan adanya kepakaran dan pengalaman dimiliki selama 50 tahun serta kerjasama erat dengan SEDC mampu memacu pembangunan hartanah merangkumi kediaman, komersial dan hotel. UDA juga berbangga dapat melebarkan sayap ke negeri Sarawak seterusnya mewarnai pembangunan bandar dan membantu menggalakkan pemilikan hartanah dalam kalangan komuniti setempat khususnya Bumiputera.
“Pembangunan Neu Pendington mampu meningkatkan urbanisasi seterusnya merancakkan lagi ekonomi dan prasarana di negeri Sarawak yang turut diberi penekanan dalam Bajet 2023. Usaha sama antara SEDC dan UDA juga diharap dapat memaksimumkan potensi dan memberi nilai tambah pada tanah milik SEDC seterusnya menjana keuntungan positif. Pembangunan ini bakal memberi pulangan berjumlah hampir RM98 juta kepada SEDC berupa 35 unit apartmen, 12 unit kedai pejabat berstrata dan sebuah hotel (200 bilik),” kata beliau.
Projek pembangunan bersepadu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM496 juta merangkumi dua (2) blok apartmen 25 tingkat blok A (347 unit) dan blok B (247 unit) dengan menampilkan tiga (3) jenis keluasan iaitu 1100, 850 serta 650 kaki persegi. Selain itu, projek tersebut turut menyediakan tiga (3) jenis kedai pejabat berstrata iaitu enam (6) tingkat, empat (4) tingkat dan dua (2) tingkat berjumlah 262 unit serta sebuah hotel 12 tingkat dengan 200 bilik. Pembangunan yang terletak di lokasi strategik itu berdekatan kawasan industri Pending Heights dengan akses mudah iaitu sekitar 5 kilometer dari Pusat Bandar Kuching.
Pada tahun 2017, SEDC dan UDA telah memeterai memorandum persefahaman bagi usaha sama pembangunan di atas tanah milik SEDC di kawasan Pending, Kuching, Sarawak. Pada tahun 2020, Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Usaha Sama antara SEDC dan UDA telah berjaya dilaksanakan dan menerusi pemeteraian perjanjian tersebut, pihak SEDC dan UDA telah memperhalusi setiap aspek pembangunan sehingga membawa kepada pelaksanaan majlis pecah tanah pada hari ini. Projek ini dijangka akan dapat disiapkan sepenuhnya pada 2029 di mana fasa pertama akan siap pada 2026 dan fasa kedua pada 2027. Pembangunan ini dapat memanfaatkan penempatan stesen Transit Aliran Automasi (ART) Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh SEDC, bagi pengangkutan awam yang moden dan efisien.