GEORGETOWN, 11 Julai 2022 - UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares – Project RE_ menganjurkan ‘Program Qurban Perdana UDA 2022’ bagi mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
Program yang dilaksanakan menerusi kumpulan syarikat UDA itu menyumbangkan lembu kepada surau dan masjid terpilih di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Pahang dan Terengganu untuk diagihkan kepada asnaf serta ahli komuniti di sekitarnya.
YBhg Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi UDA berkata, “Program Qurban Perdana UDA 2022 adalah salah satu inisiatif UDA meraikan keberkatan Hari Raya Aidiladha dan dalam masa yang sama menzahirkan rasa syukur atas kelancaran serta prestasi baik perniagaan UDA sepanjang tahun lalu walaupun berhadapan dengan cabaran Covid-19.
“Ibadah korban ini merupakan ibadah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut. UDA berharap sumbangan kecil ini dapat menceriakan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha seterusnya mengeratkan lagi ukhuwah dengan ahli komuniti khususnya di kawasan perniagaan UDA,” kata beliau.
Pelaksanaan ibadah korban yang memperuntukkan sumbangan lembu sebanyak 72 ekor ini dijalankan serentak di seluruh Malaysia bermula 10 Julai hingga 11 Julai 2022. Kemuncak program telah berlangsung pada hari ini di Dewan JKKK Sg Gelugor di Kampung Gelugor, Pulau Pinang di mana YBhg Datuk Norliza bersama-sama meluangkan masa mengedarkan daging lembu tersebut.
Penganjuran program CSR ini juga bertepatan dengan tunggak utama perniagaan UDA – ‘Life’ iaitu Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) di mana UDA sentiasa mengutamakan keseimbangan dalam perniagaan dan menyumbang semula serta membeli nilai tambah kepada komuniti setempat.



