July
2023

SEBERANG JAYA, 15 Julai 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga peneraju pembangunan hartanah wakaf melancarkan apartmen Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah sempena Karnival Hartanah UDA Ria, di sini, hari ini.

Produk terbaru UDA Property itu merupakan apartmen pegangan pajakan (leasehold) 40 tingkat mengandungi 422 unit kediaman dilengkapi tiga (3) bilik tidur dan dua (2) bilik mandi. Apartmen yang dibangunkan di atas tanah wakaf itu menawarkan dua jenis keluasan iaitu 950 dan 1,100 kaki persegi dengan harga bermula dari RM300,000.

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Annuar Zaini, Pengerusi UDA berkata, “Hari ini, UDA melancarkan produk terbaharu di Seberang Jaya, Pulau Pinang, projek hartanah kediaman, iaitu apartmen Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah (bersebelahan Taman Wakaf Seetee Aisah) yang merupakan pembangunan hartanah wakaf berkeluasan 2.92 ekar, dengan kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dengan UDA Land (North) Sdn Bhd.

“Terima kasih khas diucapkan kepada pihak MAINPP di atas kepercayaan bagi UDA menerajui pembangunan tanah wakaf milik MAINPP semenjak pembangunan Pusat Komersial Wakaf Seetee Aisah di sini dan telah menjadi model pusat komersial pertama seumpamanya di negara ini yang melibatkan pembangunan tanah wakaf,” kata beliau berucap di Majlis Pelancaran Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah.

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata “Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM162 juta turut tersedia dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, jakuzi, gimnasium, taman permainan, taska, tempat letak kenderaan berbumbung, dewan serbaguna, bilik pengurusan jenazah serta dilengkapi dengan aspek keselamatan secara berpagar dan berpengawal.

“Kediaman kondusif yang sesuai untuk pembeli rumah pertama khususnya pasangan baru berkahwin dan keluarga kecil itu terletak di lokasi yang strategik beberapa minit dari Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dan terminal feri Butterworth serta berdekatan dengan hospital, sekolah, institusi pengajian tinggi, hotel dan kompleks beli-belah, menjadi nilai tambah kepada pembangunan yang dijangka siap pada Oktober 2025,” kata beliau yang turut hadir ke majlis pelancaran itu.

UDA melancarkan apartmen Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah sempena Karnival Hartanah UDA Ria di Pulau Pinang yang berlangsung selama dua (2) hari bermula 15 hingga 16 Julai 2023. Karnival hartanah tersebut adalah permulaan bagi siri jelajah Karnival Hartanah UDA Ria pada tahun 2023 yang dijangka akan diteruskan lagi di Pahang, Johor, Selangor dan Sarawak.

Pengunjung dapat melawat ke pameran model skala dan mendapatkan maklumat produk UDA Property selain menyertai pelbagai program menarik sesuai untuk seisi keluarga. Antara aktiviti menarik yang disediakan adalah Property Talk oleh Ahyat Ishak dan Ishmael Ho, pertandingan mewarna, zumba kanak-kanak dan persembahan Didi & Friends. Pada karnival tersebut, UDA turut menyampaikan hadiah utama ‘UDA Ria 2022’ kepada pemenang Puan Rosliza Abdul Rahim, 38, yang menerima satu (1) baucar tunai UDA Property bernilai RM100,000. Puan Rosliza telah membeli Areca Terrace Phase 4A, iaitu rumah teres dua (2) tingkat dibangunkan UDA Land (South) Sdn Bhd di Bandar UDA Utama, Johor Bahru, Johor pada Karnival Hartanah UDA Ria tahun lalu.

Karnival Hartanah UDA Ria diadakan pada tahun ini bertujuan mendekati komuniti di wilayah pembangunan UDA seterusnya mempromosikan rangkaian produk hartanah UDA Property di seluruh negara yang dibangunkan oleh UDA Land Sdn Bhd, UDA Land (North) Sdn Bhd, UDA Land (South) Sdn Bhd, UDA Land (East) Sdn Bhd dan UDA Land (Sarawak) Sdn Bhd.

Datuk Sr Mohd. Salem menambah, “Inisiatif UDA menggalakkan pemilikan hartanah dan memacu sosioekonomi tempatan itu selari dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ yang menekankan kepada ciri-ciri Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa seterusnya bergerak ke arah kelestarian atau sustainability. Semoga usaha ini dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani.”

Pelanggan yang membeli hartanah UDA sepanjang kempen berlangsung berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan berjumlah hampir RM200,000 berupa pakej percutian, kad ‘Touch ‘n Go’, baucar minyak, penginapan di AnCasa Hotels & Resorts yang merupakan rangkaian hotel UDA serta dua (2) hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Pelbagai tawaran menarik disediakan kepada pelanggan yang berminat mendapatkan Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah seperti perjanjian pajakan, bayaran setem duti (MOT) dan perjanjian pinjaman percuma. Selain itu, pembeli turut menikmati bayaran muka rendah iaitu RM500 serta potongan harga sehingga 1.5% untuk pelanggan setia.

Bagi yang berminat dengan Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah atau produk-produk hartanah UDA Property di Pulau Pinang, sila kunjungi Galeri Jualan UDA Property yang dibuka setiap hari beralamat di No. 1961, Jalan Bertam, 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang atau hubungi talian 011-1722 6164 atau layari www.udaproperty.com.my

Download
  • Messenger