February
2023

KUALA LUMPUR, 21 Februari 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti menerusi anak syarikat UDA Dayaurus Sdn Bhd (UDSB) menandatangani terma induk dengan MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc.), hari ini.

Jalinan kerjasama itu adalah langkah strategik UDA dalam mengembangkan cabang perniagaan pengurusan fasiliti dengan menawarkan perkhidmatan bersepadu di pelbagai aset MARA di bawah seliaan MARA Inc.

Datuk Sr Mohd. Salem, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Jalinan kerjasama antara UDSB dan MARA Inc. ini adalah strategi UDA untuk memacu perniagaan pengurusan fasiliti menerusi tiga tunggak utama iaitu pengurusan fasiliti bersepadu, perkhidmatan perundingan pengurusan fasiliti dan audit fasiliti. Langkah proaktif ini juga selari dengan salah satu pembolehdaya strategik iaitu Pemerkasaan Pengurusan Projek Strategik yang merupakan enjin penggerak dalam kelancaran agenda negara, Malaysia MADANI.

“UDA selaku peneraju perkhidmatan pengurusan fasiliti yang berpengalaman luas selama 42 tahun, yakin mampu mempertingkat mutu bangunan MARA serta memberi nilai tambah menerusi perkhidmatan berkualiti tinggi seperti pelaksanaan inisiatif penjimatan tenaga (energy saving) dan Kontrak Prestasi Tenaga (Energy Performance Contract - EPC).

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, dijangkakan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy - RE) akan menyumbang sebanyak 31% daripada jumlah kapasiti tenaga Malaysia menjelang 2025. Melihat kepada peningkatan ini, UDA juga optimis untuk terus memanfaatkan kepakaran UDSB dalam industri pengurusan fasiliti dengan meneroka peluang baharu seperti tenaga solar (RE), EPC dan sistem bangunan pintar (smart building solutions). Inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang memfokuskan kepada sustainability atau kelangsungan serta kelestarian dalam kehidupan,” kata beliau ketika di Majlis Menandatangani Terma Induk antara UDSB dengan MARA Inc. yang berlangsung di Ibu Pejabat UDA.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Encik Hasnizi Pauzi, Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Fasiliti UDA dan Encik Faizul Idzhar Ahmad Yazi, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MARA Inc. serta disaksikan oleh Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA dan Dato’ Julainie Mohd Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MARA Corporation Sdn Bhd.

Terma induk tersebut adalah kerjasama pertama antara UDSB dan MARA Inc. Pihak UDA juga berhasrat untuk bekerjasama secara terus dengan MARA Inc atau syarikat berkaitan bagi terus merancakkan industri pengurusan fasiliti di Malaysia.

Download
  • Messenger