March
2023

KUALA LUMPUR, 28 Mac 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sumbangan zakat kepada anak asnaf dan anak yatim dari sekitar Lembah Klang menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, hari ini.

Sumbangan zakat berjumlah RM58,000 itu diagihkan kepada lima (5) pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur, Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur, Rumah Permata Hatiku, Rumah Anak Yatim Shifa serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah untuk persediaan sambutan bulan Ramadan serta Hari Raya Aidilfiltri yang bakal tiba.

Penyerahan sumbangan disempurnakan oleh YBhg Datuk Sr Mohd. Salem, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA dan disaksikan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Sebanyak RM10,000 disalurkan kepada setiap NGO dan replika cek diserahkan kepada wakil NGO yang hadir ke Majlis Berbuka Puasa UDA Bersama Media bertempat di Boathouse, Tasik Ampang, Ampang. Bagi memeriahkan lagi majlis tersebut, UDA turut meraikan seramai 40 anak asnaf dari Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur dan setiap seorang menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM200.

Dalam ucapan YB Datuk Ewon beliau berkata, “Inisiatif tanggungjawab sosial korporat UDA Cares yang menyantuni anak-anak yatim, asnaf, orang kurang upaya dan sebagainya, merupakan amalan murni yang perlu diteruskan.”

Tambah beliau, “Kementerian berharap semoga hubungan baik antara UDA dan semua pengamal media di negara ini dapat diteruskan di masa hadapan. Terima kasih di atas segala sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada UDA selama ini yang berperanan dalam menyokong hasrat Kementerian terutamanya bagi memastikan ekosistem Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk terus berkembang.”

YBhg Datuk Sr Mohd. Salem berkata, “Semoga sumbangan UDA dapat memberikan makna yang besar buat anak asnaf dan anak yatim ini serta diharapkan ia mampu mengukir senyuman serta keceriaan menjelang lebaran tahun ini. Selain itu, sokongan dan kepercayaan oleh rakan-rakan media kepada UDA selama ini juga adalah antara faktor yang menyumbang kelangsungan UDA sehingga ke hari ini. Untuk itu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama erat yang diberikan dan saya berharap semoga hubungan baik ini akan terus berkekalan.”

Majlis Berbuka Puasa UDA Bersama Media diadakan bertujuan menghargai sokongan media terhadap UDA selama ini. Majlis turut diserikan dengan penyampaian tazkirah dan persembahan nyanyian nasyid daripada Ustaz 3 Beradik. Turut hadir pada majlis tersebut adalah barisan ketua pengarang, pengarang kumpulan dan pengamal media yang diraikan serta pengurusan UDA.

Download
  • Messenger