February
2023

MELAKA, 25 Februari 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan insentif di bawah Program Pembangunan Usahawan UDA (PPUU) bernilai RM250,000.00, hari ini, di sini.

Seramai 100 usahawan UDA yang berniaga di Hab Keusahawanan Morten Walk di Kampung Morten, Melaka menerima manfaat tersebut. Para usahawan turut menerima Surat Tawaran dan dijangka memulakan operasi perniagaan pada April ini. Hab Keusahawanan Morten Walk merupakan pusat komersial berkonsepkan ‘modern & trendy’ yang menyediakan ruang niaga sewaan merangkumi lot berbentuk kabin dan lot promosi terbuka untuk pelbagai jenis perniagaan seperti makanan, minuman, fesyen, aksesori, kedai pelbagai, kedai elektronik dan sebagainya.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, “Kementerian menerusi agensi UDA Holdings Berhad mengambil langah proaktif membangunkan Hab Keusahawanan Morten Walk bagi menyediakan akses pasaran menerusi penyediaan fasiliti di lokasi strategik dan kondusif bertujuan membuka peluang untuk usahawan mengembangkan perniagaan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan berdaya maju.

“Selain menawarkan ruang niaga di tengah bandar, UDA turut menyediakan insentif pembiayaan dalam bentuk rebat sewa, kos pengurusan atau manfaat fasiliti yang turut disalurkan kepada 100 usahawan di Hab Keusahawanan Morten Walk dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM250,000. Langkah ini selari dengan strategi Kementerian untuk meningkatkan bilangan usahawan yang berkelayakan, berdaya maju dan berdaya tahan serta meningkatkan kebolehupayaan usahawan tempatan, terutamanya dalam sektor PMKS.

“Pengoperasian Hab Keusahawanan Morten Walk juga dianggarkan menjana 1,500 peluang pekerjaan membabitkan pekerja untuk penyewa, pembekal, kontraktor perkhidmatan pelbagai dan sebagainya. Semoga langkah-langkah ini dapat menyumbang kepada kepesatan ekonomi negara selari dengan konsep Malaysia Madani yang memfokuskan pada pembangunan negara yang lebih mampan dan makmur,” kata beliau ketika berucap di sesi lawatan ke Hab Keusahawanan Morten Walk, hari ini.

YB Datuk Ewon dalam ucapannya turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas keprihatinan Kerajaan untuk bersama-sama Kementerian mengangkat golongan usahawan agar mampu berdaya saing dan meluaskan perniagaan mereka. Beliau menambah, “Menerusi Belanjawan 2023 yang bertemakan 'Membangun Malaysia Madani', YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM30 juta bagi penyediaan ruang niaga strategik untuk usahawan PKS dan penjaja kecil di bawah program Malaysia Entrepreneur Hub (Hab Keusahawanan) oleh UDA Holdings Berhad, semalam.”

YBhg Datuk Sr Mohd. Salem, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “UDA sentiasa menyokong hasrat Kerajaan dan Kementerian dalam usaha pemerkasaan golongan usahawan di negara ini. UDA komited menggalas tanggungjawab tersebut dengan menyediakan pelbagai insentif di bawah Program Pembangunan Usahawan UDA (PPUU) antaranya Malaysia Entrepreneur Hub, Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre MARI Mart, UDA Craft Corner KIRANA dan UDA Niaga.

“UDA juga berharap pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk di bawah program Malaysia Entrepreneur Hub ini dapat terus mempergiat aktiviti keusahawanan seterusnya merancakkan lagi sosioekonomi tempatan. Hab yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 4.13 ekar dengan nilai kos pembangunan RM8 juta ini terletak di tengah bandar berdekatan dengan tarikan utama seperti Perkampungan Tradisional Kampung Morten, Jambatan Kampung Morten, Melaka River Cruise dan Menara Taming Sari. Inisiatif ini seiring dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang memfokuskan kepada kelangsungan serta kelestarian dalam kehidupan atau sustainability.”

Beliau menambah, “Atas sokongan Kerajaan dan Kementerian serta sambutan yang menggalakkan diterima, UDA merancang untuk membangunkan lebih banyak Hab Keusahawanan di seluruh negara antaranya di Heritage Walk, Jalan Sultan Ismail dan Odeon Walk, Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur serta di Kuala Terengganu Golf Resort, Terengganu dengan peruntukan pembangunan bagi setiap hab dianggarkan sebanyak RM10 juta.”

YB Datuk Ewon melawat ke sekitar Hab Keusahawanan Morten Walk diiringi oleh YB Datuk Zaidi Attan, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar (mewakili YAB Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka), YB Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi & Usahawan, YBhg Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Pembangunan Keusahawanan), YBhg Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, YBhg Datuk Haji Shadan Haji Othman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, ketua-ketua agensi KUSKOP, barisan pengurusan kanan UDA serta pihak berkuasa tempatan.

Pembangunan Hab Keusahawanan Morten Walk turut dilengkapi 1 unit dewan serbaguna yang boleh memuatkan sekitar 500 orang dan 11 kemudahan tambahan seperti ruang seni dan kebudayaan, pusat riadah kanak-kanak dan sebagainya. Usahawan yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai hab tersebut sila layari https://www.udamalls.com.my/morten-walk.

Download
  • Messenger