March
2023

JOHOR BAHRU, 02 Mac 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menyalurkan sebanyak RM56,000 menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares; Back to School 2023 di Johor Bahru, hari ini.

Seramai 200 pelajar dari 10 buah sekolah di sekitar Johor Bahru menerima manfaat daripada sumbangan tersebut yang berupa beg sekolah dan pakaian seragam sekolah. Bantuan disalurkan itu bertujuan membantu para pelajar yang memerlukan agar lebih bersemangat dan bersedia menghadapi sesi persekolahan yang baharu.

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Program UDA Cares; Back to School 2023 di Johor Bahru ini adalah langkah proaktif UDA dalam mendekati dan menyumbang semula kepada komuniti yang memerlukan di kawasan perniagaan UDA. Program yang dijalankan saban tahun ini juga bertujuan meringankan beban ibu bapa serta membantu para pelajar menjalani sesi pembelajaran dengan lebih selesa.

“Sumbangan seumpama ini juga telah disalurkan kepada komuniti memerlukan di negeri Sabah, pada akhir Januari dan awal Februari lalu. Sebanyak RM60,000 diperuntukkan dan telah memanfaatkan seramai 449 pelajar dari 14 buah sekolah di kawasan Kadamaian serta Penampang. Usaha ini selari dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memberi kehidupan yang lebih baik kepada komuniti seterusnya menyuntik semangat kepada semua pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu,” kata beliau.

Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Encik Mohd Nazri Jamiran, Naib Presiden Kanan, Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, di ruang legar Aras 2, Angsana Johor Bahru Mall. Turut hadir Encik Muhammad Ismail Dasuki, Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd dan Encik Imran Salleh, Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall serta barisan pengurusan UDA.

Seramai 10 guru besar dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting, Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir, Sekolah Kebangsaan Kompleks UDA, Sekolah Kebangsaan Bandar UDA 2, Sekolah Kebangsaan Taman Perling, Sekolah Kebangsaan Sungai Danga, Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan Taman Cempaka, Sekolah Kebangsaan Seri Kenanga dan Sekolah Kebangsaan Seri Melati hadir sebagai wakil bagi menerima replika cek sumbangan tersebut. Para pelajar yang diraikan turut hadir bagi menerima beg sekolah seterusnya dibawa membeli-belah pakaian seragam sekolah di Angsana Johor Bahru Mall.

Download
  • Messenger