April
2023

KUALA LUMPUR, 18 April 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan sumbangan zakat kepada anak asnaf dan anak yatim sempena Majlis Berbuka Puasa UDA Mall Bersama Asnaf di Malaysia Grand Bazaar, Hab Bukit Bintang City Centre, di sini, hari ini.

Sumbangan zakat berjumlah RM30,000 itu disalurkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares kepada tiga buah institusi iaitu Pusat Jagaan Anak Yatim / Saudara Baru An-Najjah, Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Kuala Lumpur dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Wassunah.

Seramai 50 anak asnaf dan anak yatim daripada Pusat Jagaan Anak Yatim / Saudara Baru An-Najjah dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf An-Naafi Kuala Lumpur turut diraikan pada majlis tersebut. Mereka menerima RM250 setiap seorang berupa pakaian dan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri serta wang tunai. Anak-anak tersebut turut dibawa membeli-belah persiapan menjelang lebaran di salah sebuah pusat beli-belah di Wangsa Maju.

Encik Mohd Nazri Jamiran, Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA mewakili YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA menyampaikan ucapan dan menyempurnakan penyerahan sumbangan. Beliau diiringi Encik Shamsul Baharin Md Ali, Ketua Pegawai Operasi UDA Mall Sdn Bhd, Encik Amir Hj Ishak, Ketua Operasi UDA Pertama Sdn Bhd dan Puan Radziah Mohamed Fadzil, Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan.

YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem berkata, “UDA yang turut berperanan dalam pembangunan hartanah selain daripada pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti dan pengurusan fasiliti, komited untuk bersama-sama Kementerian menyumbang kembali kepada masyarakat terutamanya komuniti di wilayah pembangunan serta perniagaan UDA.

“Semoga sumbangan ini mampu mengukir senyuman serta memberi keceriaan buat mereka dalam meraikan Syawal yang bakal tiba. Kami juga berharap usaha murni UDA menyantuni insan memerlukan lebih-lebih lagi di bulan mulia ini dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat yang bertepatan dengan konsep Malaysia Madani.”

Beliau turut berkata, “Majlis Berbuka Puasa UDA Mall Bersama Asnaf @ Malaysia Grand Bazaar ini juga bertujuan memberi hebahan kepada orang ramai mengenai Malaysia Grand Bazaar (MGB) yang merupakan sebuah kompleks beli-belah artisanal yang pertama di Kuala Lumpur di bawah seliaan UDA. MGB ini juga dijadikan sebagai salah satu platform buat para usahawan yang baru mengorak langkah mereka dalam bidang keusahawanan mahupun perniagaan.”

Sepanjang Ramadan 2023, UDA telah mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM205,600.00 kepada 15 buah Pusat Pertubuhan dan Rumah Kebajikan dalam lapan Majlis Berbuka Puasa anjuran UDA di beberapa wilayah perniagaan UDA seperti di sentral, utara, selatan dan pantai timur. UDA akan terus mengukuhkan fungsi dan peranan dalam setiap segmen perniagaannya, terutamanya dalam membentuk komuniti inklusif seiring dengan penjenamaan UDA: LIFE yang menekankan kepada ciri-ciri Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa, dan seterusnya bergerak ke arah kelestarian atau ‘sustainability.

Download
  • Messenger