September
2023

JOHOR BAHRU, 30 September 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan kehadiran seramai 100,000 pengunjung ke Karnival UDA 2023.

Karnival yang membuka tirai jelajah di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall pada 29 September hingga 1 Oktober 2023 ini bakal diadakan di tiga lagi lokasi iaitu Pusat Komersial Tasek Gelugor, Pulau Pinang (27 – 29 Oktober 2023), Lintasan Deasoka Kota Kinabalu, Sabah (24 – 26 November 2023), dan Angsana Ipoh Mall, Perak (8 – 10 Disember 2023).

Karnival UDA 2023 membawakan kelainan dengan menggabungkan dua acara serentak iaitu Program Usahawan USHAniaga dan Kempen Hartanah UDA Ria.

YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, matlamat penganjuran Karnival UDA 2023 mengambil pendekatan serampang dua mata iaitu menggiatkan aktiviti keusahawanan dan sosioekonomi setempat dan dalam masa yang sama mempromosikan rangkaian produk hartanah terbaru UDA di seluruh negara.

“UDA selaku salah sebuah agensi di bawah KUSKOP mengambil langkah proaktif mengetengahkan Program Usahawan USHAniaga dengan menawarkan pelbagai insentif kepada golongan usahawan seperti gerai jualan usahawan, pameran agensi KUSKOP, kelas bimbingan dan konsultasi ‘Biz Clinic’, padanan perniagaan ‘Business Matching’, sesi dialog KUSKOP dan bual bicara usahawan. Usaha ini seiring dengan misi Kementerian bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif serta menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul.

“Karnival ini juga merupakan platform hebahan bagi mempromosikan produk hartanah UDA di seluruh negara antaranya di negeri Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Pahang termasuklah projek terbaharu kami di negeri Sarawak,” kata beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 @ Angsana Johor Bahru Mall, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd Jafni Bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor diiringi YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem serta pengurusan tertinggi UDA.

Tambah YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem, “Menerusi Program Usahawan USHAniaga, UDA menyasarkan pembabitan seramai 500 usahawan dengan jumlah nilai jualan dianggarkan sebanyak RM10 juta di Karnival UDA 2023. Tahun lalu, UDA telah membantu seramai 656 usahawan menerusi program yang sama dengan jumlah nilai jualan berjaya dijana sebanyak RM11.72 juta.

“Program ini bertujuan memberi ruang kepada usahawan dan rakan kaloborasi bagi memasarkan produk serta perkhidmatan mereka kepada orang ramai dengan lebih meluas. Selain itu, ia turut menjadi platform bagi menjejaki, mendekati, membimbing serta mentransformasi usahawan berpotensi yang berdaya saing, berdaya tahan dan berupaya bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa,” kata beliau.

Merujuk kepada segmen hartanah, YBhg Datuk Sr Mohd. Salem turut mengulas UDA menyasarkan pelancaran UDA Heights, salah satu produk hartanah baharu UDA, pada bulan Oktober ini. Projek dengan reka bentuk moden, luas dan selesa untuk seisi keluarga itu menyediakan dua jenis kediaman iaitu rumah banglo dua (2) tingkat dengan keluasan lot 80’ x 90’ dan rumah berkembar dua (2) tingkat yang mempunyai lima (5) bilik tidur.

“UDA juga akan melancarkan projek hartanah teres dua (2) tingkat dan kedai pejabat dua (2) dan tiga (3) tingkat di Bandar UDA Utama pada tahun hadapan. Kami berharap semoga pelancaran produk hartanah baharu ini akan merancakkan lagi industri pembangunan hartanah di negeri Johor ini. Pelbagai variasi produk hartanah UDA yang berkualiti turut memberikan pilihan kehidupan yang lebih baik kepada masyarakat, terutamanya komuniti di wilayah pembangunan UDA di negeri Johor ini,” tambah beliau.

Pelanggan yang membeli hartanah UDA sepanjang Kempen Hartanah UDA Ria berlangsung berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan berjumlah hampir RM200,000 berupa pakej percutian, kad ‘Touch ‘n Go’, baucar minyak, penginapan di AnCasa Hotels & Resorts yang merupakan rangkaian hotel UDA serta dua (2) hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Layari uda.com.my/karnival-uda atau Instagram @uda_official atau laman Facebook UDA Holdings Berhad untuk maklumat lanjut.

Download
  • Messenger