November
2023

KOTA KINABALU, 25 November 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan pembabitan 500 usahawan dengan nilai jualan berjumlah RM10 juta di empat lokasi penganjuran Karnival UDA 2023.

Karnival yang mengetengahkan dua program utama iaitu Program Usahawan USHANiaga dan Kempen Hartanah UDA Ria itu kini sedang berlangsung di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, Sabah bermula 24 hingga 26 November. Sebelum ini ia telah dianjurkan di dua lokasi iaitu Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall (29 September hingga 1 Oktober 2023) dan Tapak Parkir Gravitas, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (27 hingga 29 Oktober 2023) seterusnya bakal menutup tirai di Angsana Ipoh Mall, Perak pada 8 hingga 10 Disember 2023.

YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, “Melihat kepada penyertaan hampir 300 usahawan serta pencapaian jualan berjumlah RM5.48 juta dalam Karnival UDA yang telah dilaksanakan di negeri Johor dan Pulau Pinang, saya percaya UDA mampu mencapai sasaran penyertaan 500 usahawan dan nilai jualan RM10 juta bagi Karnival UDA di empat (4) buah lokasi pada tahun 2023.

“Program Mari dan Kirana yang disediakan oleh UDA untuk membantu perkembangan perniagaan usahawan termasuklah usahawan di Sabah selari dengan salah satu fokus kementerian iaitu meningkatkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor bernilai tinggi serta menembusi pasaran global, menumpukan pengukuhan kemampanan PMKS dan Koperasi dalam meningkatkan daya saing ekonomi dan seterusnya memperkukuh ekosistem keusahawanan sosial bagi menormalkan impak sosial”.

Tambah beliau lagi, “Saya berharap agar UDA akan terus produktif dalam menyediakan produk serta menawarkan perkhidmatan berkualiti dan terus memperkasa golongan usahawan terutamanya di kompleks perniagaan UDA dengan mengetengahkan langkah-langkah segar, bagi menyahut hasrat kerajaan seperti yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada bulan Oktober lalu, untuk agensi antaranya UDA, menaik taraf kemudahan perniagaan sebagai keutamaan dan penanda aras Ekonomi MADANI dalam Penstrukturan Semula Ekonomi Bagi Melonjak Pertumbuhan di bawah Ikhtiar 5: Memperkasa Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS)”.

YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, UDA menyasarkan nilai jualan usahawan sebanyak RM2 juta menerusi Karnival UDA 2023 di Sabah dengan pembabitan seramai lebih 100 usahawan.

“Program Usahawan USHANiaga adalah inisiatif UDA khusus kepada golongan usahawan untuk mempromosikan perniagaan dan mendapatkan peningkatan dalam aspek jualan dan pemasaran. Selain itu, ia bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dalam kalangan usahawan tempatan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya. Usahawan yang berminat membuka gerai jualan di Karnival UDA 2023 diberikan subsidi sewaan tapak.

“Selain itu, menerusi Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), usahawan berpeluang meneroka pelbagai insentif lain oleh UDA terutamanya bantuan dari segi akses pasaran seperti ruang niaga di premis-premis di bawah seliaan UDA antaranya di Morten Walk, Melaka serta ruang pemasaran produk usahawan di pusat runcit Mari Mart dan Kirana. Usahawan juga berpeluang mendapatkan maklumat bagi program-program yang disediakan oleh agensi-agensi KUSKOP selain berpeluang turut serta dalam kelas bimbingan dan konsultasi usahawan ‘Biz Clinic’,” kata beliau.
Tambah beliau, UDA turut menerima sambutan yang menggalakkan bagi Kempen Hartanah UDA Ria dengan hampir 12,000 pengunjung melawat ke pameran hartanah tersebut di Johor dan Pulau Pinang.

“Menerusi Kempen Hartanah UDA Ria, UDA mengambil langkah proaktif memperkenalkan pelbagai hartanah UDA di seluruh Malaysia termasuklah projek terbaharu kami di negeri Sarawak yang sesuai untuk semua generasi, kepada penduduk Sabah. Usaha ini juga membuka peluang kepada golongan muda Sabah untuk memilik hartanah di Semenanjung dan Sarawak dengan pelbagai promosi dan tawaran hadiah menarik.

“Antara produk hartanah yang diketengahkan di Karnival UDA 2023 @ Sabah ialah 38 Bangsar Residensi (apartmen servis) di Bangsar, Kuala Lumpur, UDA Heights (rumah berkembar dan banglo; 2 dan 3 Tingkat) di Bandar UDA Utama, Johor Bahru, Crescent Dew 1A (rumah berkembar dan Banglo; 2 dan 3 Tingkat) di Kepala Batas, Pulau Pinang, Pelindung Heights (rumah berkembar 2 tingkat) di Kuantan, Pahang dan Neu Pendington (apartmen dan bangunan komersial) di Kuching, Sarawak,” kata beliau.

Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 di Sabah disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi diiringi YBhg. Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA serta barisan pengurusan tertinggi UDA.

Pada majlis yang sama, barisan tetamu kehormat turut menyaksikan penyampaian sumbangan zakat UDA dan penghargaan istimewa kepada pelanggan setia hartanah UDA.

Pelanggan yang membeli hartanah UDA sepanjang Kempen Hartanah UDA Ria berlangsung berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan berjumlah hampir RM200,000 berupa pakej percutian, kad ‘Touch ‘n Go’, baucar minyak, penginapan di AnCasa Hotels & Resorts yang merupakan rangkaian hotel UDA serta dua (2) hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa, tertakluk kepada terma dan syarat.


Layari uda.com.my/karnival-uda atau Instagram @uda_official atau laman Facebook UDA Holdings Berhad untuk maklumat lanjut.

Download
  • Messenger