October
2023

BUKIT MERTAJAM, 29 Oktober 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan pembabitan 500 usahawan dengan nilai jualan berjumlah RM10 juta di empat lokasi penganjuran Karnival UDA 2023.

Karnival yang membuka tirai di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall pada 29 September hingga 1 Oktober itu kini sedang berlangsung di Tapak Parkir Gravitas, Taman Pauh Jaya, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang (27 – 29 Oktober 2023) dan akan diteruskan ke Lintasan Deasoka Kota Kinabalu, Sabah (24 – 26 November 2023), kemudian berakhir di Angsana Ipoh Mall, Perak (8 – 10 Disember 2023).

YB Senator Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, “Selain fokus terhadap pembangunan hartanah termasuklah pembangunan hartanah wakaf, sebagai agensi di bawah KUSKOP, UDA komited menggalas peranan dalam memperkasa golongan usahawan. Kempen USHAniaga yang turut dimuatkan dalam karnival yang berlangsung selama tiga hari ini, menghimpunkan usahawan yang menyewa di ruang niaga UDA dan juga dari agensi lain merangkumi pelbagai segmen perniagaan.

“Karnival UDA pada tahun 2023 mensasarkan 500 usahawan di empat lokasi penganjuran karnival ini, dengan sasaran nilai jualan berjumlah RM10 juta. Ia turut memperkenalkan aspirasi UDA dalam melahirkan usahawan yang mampan serta menjejaki, mendekati, membimbing dan mentransformasi usahawan berpotensi yang berdaya saing, berdaya tahan dan berupaya bersaing di pasaran bukan sahaja di peringkat domestik tetapi antarabangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival UDA 2023 di Pulau Pinang.

Tambah beliau lagi, “Saya menyeru agar UDA terus gigih mendukung hasrat kementerian mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan, seterusnya bersama-sama menyumbang kepada perpaduan serta hala tuju Malaysia ke arah sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera berpandukan enam Nilai Teras Malaysia MADANI,” kata beliau.

YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, sebanyak RM2.96 juta nilai jualan usahawan telah dijana menerusi Karnival UDA 2023 di Angsana Johor Bahru Mall dengan pembabitan seramai 159 usahawan.

“Program Usahawan USHAniaga adalah inisiatif UDA khusus kepada golongan usahawan untuk mempromosikan perniagaan dan mendapatkan peningkatan dalam aspek jualan dan pemasaran. Selain itu, ia bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dalam kalangan usahawan tempatan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhannya.

“Menerusi Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), usahawan yang berminat membuka gerai jualan di Karnival UDA 2023 diberikan subsidi sewaan tapak. Selain itu, usahawan berpeluang meneroka pelbagai insentif lain oleh UDA terutamanya bantuan dari segi akses pasaran seperti ruang niaga di premis-premis di bawah seliaan UDA antaranya di Morten Walk, Melaka serta ruang pemasaran produk usahawan di pusat runcit Mari Mart dan Kirana. Usahawan juga berpeluang mendapatkan maklumat bagi program-program yang disediakan oleh agensi-agensi KUSKOP selain berpeluang turut serta dalam kelas bimbingan dan konsultasi usahawan ‘Biz Clinic’,” kata beliau.

Menariknya pada tahun ini, UDA menggabungkan dua program utama dalam satu karnival iaitu Program Usahawan USHAniaga dan Kempen Hartanah UDA Ria.

Tambah beliau, “Kempen Hartanah UDA Ria membawakan pelbagai hartanah UDA antaranya dari negeri Johor, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Pahang termasuklah projek terbaharu kami di negeri Sarawak yang sesuai untuk semua generasi dengan pelbagai promosi dan tawaran hadiah menarik.

“Merujuk kepada segmen hartanah di Pulau Pinang, UDA memfokuskan kepada dua produk hartanah yang terletak di lokasi strategik iaitu banglo dua tingkat Crescent Dew (Fasa 1B) yang menampilkan gaya hidup resort mewah dalam persekitaran yang dekat dengan alam semula jadi. Kediaman pegangan bebas yang terletak di Kepala Batas itu mengetengahkan ciri reka bentuk yang elegan selain mengutamakan elemen privasi serta dikelilingi pelbagai kemudahan dan infrastruktur. Selain itu, UDA turut membawakan pangsapuri Amaanee Residences yang terletak di Wakaf Seetee Aisah 2, Seberang Jaya yang merupakan hartanah wakaf dengan harga mampu milik,” kata beliau.
Majlis Perasmian Penutup Karnival UDA 2023 di Pulau Pinang disempurnakan oleh YB Dato' Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang diiringi YB Senator Saraswathy, YBhg. Datuk Sr Mohd. Salem serta pengurusan tertinggi UDA.

Pada majlis yang sama, barisan tetamu kehormat turut menyaksikan penyampaian sumbangan zakat UDA berjumlah RM15,000 kepada usahawan asnaf dan seterusnya memberikan penghargaan istimewa kepada 10 pelanggan setia hartanah UDA.

Para pelanggan yang membeli hartanah UDA sepanjang Kempen Hartanah UDA Ria berlangsung berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan berjumlah hampir RM200,000 berupa pakej percutian, kad ‘Touch ‘n Go’, baucar minyak, penginapan di AnCasa Hotels & Resorts yang merupakan rangkaian hotel UDA serta dua (2) hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa, tertakluk kepada terma dan syarat.

Layari uda.com.my/karnival-uda atau Instagram @uda_official atau laman Facebook UDA Holdings Berhad untuk maklumat lanjut.

Download
  • Messenger