May
2023

KEPALA BATAS, 20 Mei 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan jualan 311 unit hartanah di Pulau Pinang menjelang Disember tahun ini.

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Selari dengan peranan UDA dalam meningkatkan urbanisasi seterusnya menggalakkan pemilikan hartanah, UDA komited menyediakan pelbagai rangkaian produk hartanah untuk semua peringkat atau lapisan masyarakat. Di Pulau Pinang, UDA menawarkan empat produk hartanah merangkumi unit komersial seperti kedai pejabat Elevate @ Gravitas, Seberang Perai dan unit kediaman seperti kondominium Evoke Residence, Seberang Perai dan rumah berkembar serta rumah banglo tiga (3) tingkat Crescent Dew, Bertam.

“Sebagai pelopor pembangunan hartanah wakaf, UDA sentiasa proaktif membangunkan projek di atas tanah wakaf bagi meningkatkan nilai tanah tersebut seterusnya memacu ekonomi ummah. Salah satu hartanah wakaf yang ditawarkan di Pulau Pinang ialah Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah. Produk kediaman apartmen 40 tingkat dengan tiga (3) bilik tidur dan dua (2) bilik mandi itu menyediakan dua (2) jenis keluasan iaitu 950 dan 1,100 kaki persegi,” kata beliau ketika berucap di Majlis UDA Ria Raya @ UDA Galleria yang berlangsung di pejabat UDA Land (North) Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, “Sasaran jualan 311 unit hartanah di Pulau Pinang ini adalah selari dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ yang menekankan kepada ciri-ciri Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa, seterusnya bergerak ke arah kelestarian atau sustainability. Semoga usaha menggalakkan pemilikan hartanah ini juga dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani.”

Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah menyediakan 422 unit kediaman dan dibangunkan di lokasi strategik di Seberang Jaya dengan harga mampu milik bermula daripada RM299,991 hingga RM414,447. Kediaman kondusif yang berpagar serta berpengawal itu sesuai untuk pasangan baru berkahwin atau keluarga kecil selain turut menawarkan pelbagai kemudahan seperti taman permainan, kolam renang, jakuzi, gimnasium, tempat letak kenderaan berbumbung, dewan serbaguna, taska dan bilik pengurusan jenazah.

Tambahan lagi, ia turut dikelilingi pelbagai kemudahan seperti sekolah, hospital, institut pengajian tinggi, pasar raya, pusat beli-belah, hotel dan lebuh raya selain mudah dihubungkan ke Jambatan Pulau Pinang (8.4 kilometer), Bandar Seberang Jaya (3.2 kilometer) dan Bandar Baru Perda Bukit Mertajam (7.5 kilometer).

Selain itu, terdapat projek-projek yang bakal dilancarkan tidak lama lagi termasuk projek Taman Sena Permai di Kangar, Perlis merangkumi pembinaan rumah teres dua (2) tingkat dan kedai pejabat dua (2) tingkat, Crescent Dew Fasa 1B di Bertam merangkumi pembinaan rumah berkembar dan banglo dua (2) tingkat serta 32 unit kedai pejabat di Wakaf Seetee Aisah 2. Projek-projek tersebut juga dibuka untuk pendaftaran.

Majlis UDA Ria Raya @ UDA Galleria anjuran UDA Land (North) Sdn Bhd diadakan bertujuan meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama warga kerja, pelanggan korporat serta pihak berkepentingan. Seiring dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, majlis tersebut turut meraikan 30 orang anak yatim dan anak asnaf dari Rumah Anak Kesayangan Tok Kandu, Permatang Pauh, Pulau Pinang. Anak-anak tersebut menerima sumbangan zakat berbentuk duit raya berjumlah RM200 setiap seorang.

Majlis yang terbuka kepada orang ramai itu juga membuka peluang kepada pengunjung untuk melawat ke pameran model skala serta mendapatkan maklumat produk UDA Property Pulau Pinang. Selain itu, pengunjung turut dihidangkan dengan juadah hari raya dan menyertai aktiviti ‘Daftar dan Menang’ di mana pengunjung berpeluang memenangi hadiah menarik apabila berkunjung dan mendaftar di UDA Galleria.

Pelbagai tawaran menarik disediakan kepada pelanggan yang berminat mendapatkan produk hartanah UDA Property pada majlis tersebut seperti perjanjian jual beli (SPA), bayaran setem duti (MOT) dan perjanjian pinjaman percuma bagi pembelian Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah. Selain itu, UDA menyediakan bayaran muka rendah iaitu RM500 serta potongan harga sehingga 1.5% bagi pelanggan setia.

Pembeli turut berpeluang menerima baucar penginapan dua hari satu malam (2H1M) di Bertam Resort bagi pembelian atau tempahan hartanah UDA Property Pulau Pinang pada hari ini (mengikut terma dan syarat yang ditetapkan).

Bagi yang berminat dengan Amaanee Residences @ Wakaf Seetee Aisah atau produk- produk hartanah UDA Property di Pulau Pinang, sila berkunjung ke Galeri Jualan UDA Property yang dibuka setiap hari beralamat di No. 1961, Jalan Bertam, 13200 Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang atau hubungi talian 04-575 5566 atau layari www.udaproperty.com.my.

Download
  • Messenger