May
2023

JOHOR BAHRU, 14 Mei 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan pelancaran tiga projek hartanah baharu di negeri Johor tahun ini.

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “Salah satu projek yang bakal diketengahkan adalah produk hartanah kediaman iaitu unit rumah teres dua (2) tingkat Pisonia Ville (Pakej 3) di Bandar UDA Utama. UDA juga bakal memperkenalkan satu lagi produk hartanah kediaman di kawasan yang sama iaitu unit rumah berkembar dan banglo dua (2) tingkat iaitu UDA Heights.

“Selain itu, UDA turut merancang pembangunan rumah teres satu (1) tingkat iaitu Sedili Residensi di Kota Tinggi. Ketiga-tiga produk tersebut dijangka bakal dilancarkan pada Julai, Oktober dan November tahun ini,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis UDA Ria Raya @ Areca Terrace yang berlangsung di Bandar UDA Utama, Johor Bahru, hari ini.

Pada majlis yang sama, UDA turut melancarkan unit rumah contoh teres dua (2) tingkat Areca Terrace (Fasa 4A). Projek hartanah kediaman pegangan bebas (freehold) yang berkeluasan 1,443 kaki persegi itu menawarkan kediaman yang luas dan selesa dengan kemudahan empat (4) bilik tidur dan tiga (3) bilik mandi. Selain itu, ia turut mempunyai ruang hijau berkeluasan 10 kaki yang boleh diubahsuai.

Tambah Datuk Sr Mohd. Salem, “UDA sentiasa optimis dan proaktif dalam mengukuhkan fungsi serta peranan dalam setiap segmen perniagaan khususnya dalam membentuk komuniti inklusif seiring dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ yang menekankan kepada ciri-ciri Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa, seterusnya bergerak ke arah kelestarian atau sustainability. Semoga usaha ini juga dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani.

“Selari dengan fokus ini, UDA menyasarkan jualan sebanyak 86 unit Areca Terrace menjelang Disember tahun ini. Kediaman yang kondusif ini ditawarkan dengan harga bermula daripada RM538,611 hingga RM803,916. “

Pemilihan dan pemilikan kediaman yang lapang dan nyaman untuk permulaan kehidupan terutamanya bagi pasangan baru berkahwin amat tepat dan bernilai kerana ianya terletak di lokasi strategik dengan pelbagai kemudahan serta akses di sekitarnya seperti sekolah, bank, pasar raya, pusat rekreasi, pusat beli-belah dan lebuh raya. Selain itu, ia juga mudah dihubungkan ke destinasi tarikan pelancong serta pusat rekreasi seperti Legoland Malaysia, Puteri Harbour, Horizon Hills Golf & Country Club, Johor Golf & Country Club dan Ponderosa Golf & Country Club.

Majlis UDA Ria Raya @ Areca Terrace yang diadakan pada 13 dan 14 Mei 2023 ini terbuka kepada orang ramai dan pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang ia berlangsung. Pengunjung berpeluang melawat ke pameran model skala hartanah UDA di Johor serta mendapatkan maklumat hartanah yang bakal dibangunkan di masa hadapan. Selain itu, pengunjung turut dihidangkan dengan juadah hari raya, penampilan maskot, aktiviti mewarna batik, swafoto dan lain-lain.

Pada majlis yang sama, UDA turut menyerahkan baucar eksklusif kesihatan KPJ kepada pembeli-pembeli yang telah membeli hartanah UDA Property Johor pada tahun ini sebagai insentif (mengikut terma dan syarat yang ditetapkan). Insentif tersebut merupakan kolaborasi pemasaran antara UDA Land (South) Sdn Bhd dengan rangkaian hospital KPJ.

Pelbagai tawaran menarik juga disediakan kepada pelanggan yang berminat untuk mendapatkan produk Areca Terrace (Fasa 4A) seperti yuran guaman bagi perjanjian jual beli (PJB) dan pinjaman serta bayaran setem duti (MOT) untuk PJB dan pinjaman ditanggung oleh UDA melalui panel peguam.

Bagi yang berminat dengan Areca Terrace atau produk-produk hartanah UDA khususnya di Johor, sila berkunjung ke Galeri Jualan UDA Property yang terletak di Wisma SBBU. No.1, Jalan Padi Mahsuri 12, Bandar Baru UDA, Johor Bahru, Johor atau hubungi talian 07 237 4944 / 1800 1800 89 / 011 1722 6120 atau layari www.udaproperty.com.my.

Download
  • Messenger