May
2023

KUCHING, 22 Mei 2023 – UDA Holdings Berhad (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan pelancaran apartmen servis dan ruang niaga fasa pertama Neu Pendington pada awal tahun hadapan.

Apartmen servis 25 tingkat yang merupakan sebahagian daripada pembangunan Neu Pendington iaitu pembangunan bersepadu pertama di Sarawak itu menawarkan 347 unit kediaman dengan tiga jenis keluasan iaitu 650 kaki persegi (2 bilik tidur) serta 850 dan 1,100 kaki persegi (3 bilik tidur). Manakala ruang niaga 2 tingkat yang mempunyai sebanyak 30 unit itu berkeluasan 1,292 kaki persegi.

Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA berkata, “UDA sentiasa optimis memacu pembangunan hartanah serta meningkatkan urbanisasi dalam membentuk komuniti inklusif. Seiring dengan perkembangan dalam perniagaan, UDA mengambil langkah proaktif melebarkan sayap ke negeri Sarawak dalam usaha menggalakkan pemilikan hartanah seterusnya merancakkan lagi ekonomi setempat.

“Bagi menzahirkan hasrat tersebut, UDA komited menggiatkan pelaksanaan pembangunan Neu Pendington di mana projek apartmen servis dan ruang niaga fasa pertama itu telah pun mendapat kelulusan merancang dan kejuruteraan (AVTC) daripada State Planning Authority manakala kerja tanah serta Infrastruktur bakal bermula pada akhir Mei ini,” kata beliau ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Gawai Raya 2023 yang berlangsung di Dewan Banquet Sri Bunga Rampai, Jalan Taman Budaya, Taman Budaya, di sini, hari ini.

Majlis anjuran UDA Land (Sarawak) Sdn Bhd itu diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan korporat, para prospek dan pihak berkepentingan seterusnya meraikan kemeriahan Hari Gawai serta penutup Hari Raya Aidilfitri.

Tambah Datuk Sr Mohd. Salem, “UDA menyasarkan jualan 30% unit apartmen servis dan ruang niaga fasa pertama tersebut pada tahun hadapan. Setakat hari ini, pendaftaran bagi unit kediaman tersebut telah dibuka dan ia menerima sambutan yang menggalakkan khususnya daripada warga tempatan.

“Inisiatif UDA mewarnai pembangunan bandar Kuching ini selari dengan penjenamaan UDA iaitu ‘L.I.F.E.’ yang menekankan kepada ciri-ciri Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa, seterusnya bergerak ke arah kelestarian atau sustainability. Semoga usaha ini juga dapat menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat bertepatan dengan konsep Malaysia Madani,” kata beliau.

Apartmen servis Neu Pendington menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, kolam mandi kanak-kanak, jakuzi, gimnasium, trek joging, ruang dobi, tandas, bilik persalinan dan sky garden (taman di atas bangunan). Selain itu, ia terletak di lokasi strategik berdekatan kawasan industri Pending Heights dengan akses mudah iaitu lima (5) kilometer dari bandar Kuching, dua (2) kilometer dari Borneo Convention Centre Kuching, 10 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan 24 kilometer dari Kota Samarahan.

Pembangunan bersepadu Neu Pendington dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM496 juta itu dibangunkan hasil usaha sama UDA dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) selaku pemilik tanah. Ia merangkumi pembinaan 594 unit apartmen (2 menara apartmen servis 25 tingkat dengan 3 jenis keluasan), 262 unit kedai pejabat berstrata (3 jenis iaitu 2, 4, & 6 tingkat) dan sebuah hotel 12 tingkat (200 bilik). Projek yang terletak di Lot 9561, Seksyen 64, Kuching Town Land District, Jalan Datuk Marican Salleh, Kuching itu dijangka siap sepenuhnya pada 2029 di mana fasa pertama akan siap pada 2026 dan fasa kedua pada 2027. Pembangunan itu juga dijangka dapat memanfaatkan penempatan stesen Transit Aliran Automasi (ART) Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh SEDC, bagi pengangkutan awam yang moden dan efisien.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat projek Neu Pendington atau mendaftar, sila kunjungi galeri jualan UDA Land (Sarawak) Sdn Bhd di Lot R104-R105, Level 1, Sarawak Plaza, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuching, Sarawak atau layari www.udaproperty.com.my/project/neu-pendington. Galeri tersebut adalah sementara dan galeri sebenar bakal bertempat di tapak pembangunan Neu Pendington serta dijangka siap pada bulan Januari tahun hadapan.

Download
  • Messenger